Sunday, March 9, 2008

PRU 12

Pilihanraya Umum ke-12 telahpun berakhir semalam dengan menyaksikan antara 55% - 87% pengundi keluar membuang undi di seluruh negara. Keputusan juga telah diketahui yang mana tampuk pemerintahan negara masih kekal kepada Barisan Nasional sekalipun gagal mendapat 2/3 majoriti. Bagaimanapun, perubahan besar yang agak memeranjatkan dapat kita saksikan seawal jam 11.30 malam tadi apabila sebahagian besar negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang dan Kelantan terus kekal di tangan PAS dengan kemenangan bergaya yang diluar jangkaan UMNO Kelantan, manakala sebahagian besar kerusi parlimen Wilayah Persekutuan memihak kepada pihak pembangkang.

Saya cukup berminat untuk membuat analisis sendiri mengikut pemerhatian saya selaku rakyat jelata yang sama-sama terlibat dalam proses pembuangan undi semalam. Ingin saya mulakan dengan kemenangan cemerlang PAS di Kelantan. Negeri ini dikatakan menjadi antara negeri 'panas' sepanjang tempoh berkempen di mana BN mensasarkan kemenangan besar dan seterusnya merampas kembali tampuk pemerintahan yang diterajui PAS sejak tahun 1990. Ketika PAS memenangi Kelantan pada 1990, saya semasa itu berada di Maahad Muhammadi (P), Kota Bharu dalam tingkatan 3. Saya dapat saksikan betapa gelombang perubahan begitu ketara dimana seluruh jentera PAS bertungkus-lumus dengan posters, bendera, banners dan macam-macam lagi semasa proses berkempen. Apabila PAS diumumkan menang, seluruh rakyat Kelantan seakan-akan meraikan kemenangan tersebut dari mulut ke mulut. Hari ini, PAS berjaya dengan kemenangan yang cukup besar seperti pada tahun 1990. Ironisnya, kempen BN "pade doh" dan "pakat kelik Klate" ternyata telah menarik sebegitu ramai penyokong PAS untuk benar-benar pulang ke kampung halaman dan seterusnya memberi kemenangan besar kepada PAS. Kelantan juga telah mencatat jumlah peratus pengundian tertinggi antara negeri-negeri dengan peratusan antara 75% - 86% , dimana kerusi Parlimen Bachok (percaturan diantara Ust Nasharuddin Mat Isa dan Dato' Dr Awang Adek) memperlihatkan jumlah pengundi terbanyak keluar mengundi iaitu sebanyak 85.98%. Melalui pemerhatian saya, kekalahan teruk BN di negeri Cik Siti Wan Kembang ini adalah disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah manifesto BN yang memberi fokus kepada pembangunan fizikal semata-mata walhal Kelantan jika dilihat tidaklah begitu ketinggalan dari segi infrastruktur dan pembangunan yang lain-lain. Kemudian apa yang telah digembar-gemburkan oleh pimpinan UMNO Kelantan mengenai rakyat Kelantan sebagai antara yang termundur sedikit sebanyak telah menyebabkan sebilangan besar rakyat merasa terguris kerana hakikatnya adalah sama sekali berbeza. Yang lebih pasti, penolakan UMNO terhadap kredibiliti pimpinan PAS Kelantan di bawah Tn Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat jelas mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat yang rata-rata begitu selesa hidup di bawah pentadbiran beliau sejak 1990.

Di Kedah, kemenangan PAS buat julung-julung kalinya adalah sesuatu yang sama sekali di luar jangkaan banyak pihak. Saya melihat rakyat Kedah ibarat api dalam sekam kepada BN. Mereka membuat protes secara diam, tanpa disngka-sangka dan ini mungkin juga akibat salah percaturan pimpinan BN yang selama ini menyangka sebahagian besar Kedah seperti di Sg Petani, Padang Terap dan Merbok adalah kubu kuat BN. Ternyata, rakyat Kedah mempunyai mesej yang begitu jelas ingin disampaikan kepada BN melalui pakatan undi kepada pembangkang. Kekalahan beberapa nama penting dalam kabinet kerajaan BN di Kedah seperti Datuk Seri Zainuddin Maidin (Parlimen Sg Petani) ternyata mempunyai makna tersendiri. Saya melihat kesilapan pimpinan BN mencalonkan beliau sekali lagi setelah banyak isu yang berlaku yang telah menjejaskan imej beliau sebagai menteri penerangan menyumbang kepada kekalahannya di parlimen tersebut. Begitu juga apa yang berlaku di P.Pinang dan Perak. kekalahan teruk Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di Parlimen Batu Kawan dan Datuk Seri S.Samy Vellu di Parlimen Sg Siput ternyata memberi tamparan hebat buat BN.

Secara ringkasnya, kekalahan teruk BN di Kelantan, Kedah, P.Pinang, Perak, Selangor dan Parlimen Wilayah Persekutuan adalah disebabkan beberapa faktor. Saya melihat faktor peribadi beberapa nama di BN sebagai faktor utama. Mereka ini dikatakan telah hilang kredibiliti di mata rakyat. Kemudian faktor isu semasa seperti kenaikan harga minyak dan harga barang memberi bonus kepada pihak pembangkang untuk meraih undi. manifesto yang digariskan oleh pihak pembangkang yang dilihat lebih dekat dengan rakyat, ternyata menarik perhatian pengundi. Isu perkauman yang meruncing juga menjadi penyumbang kepada kekalahan ini. Selain itu kesilapan BN didalam percaturan politik dengan fokus yang lebih diberi kepada Kelantan bertujuan merampas kembali negeri tersebut dan anggapan negeri-negeri lain tidak akan sama sekali jatuh ke tangan pembangkang mengakibatkan tercetusnya gelombang tsunami yang hampir-hampir meneggelamkan BN di negeri-negeri tersebut. Akhir sekali, kemunculan kembali Datuk Seri Anwar Ibrahim di persada politik nasional ternyata memberi impak yang cukup besar kepada kedua-dua pihak. Ternyata, telahan BN yang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak relevan salah sama sekali. Apapun, gelombang perubahan ini sebenarnya telah melanda beberapa negara Asean seperti di Indonesia dan Thailand, cuma Malaysia agak lambat dan akhirnya ianya meletus tanpa diduga oleh kebanyakan pihak.

BN harus belajar dan mengkaji kesilapan yang telah membawa kepada perubahan besar ini. Jangan ditanya apa yang rakyat mahukan lagi kerana sudah menjadi tanggungjawab kerajaan tidak kira apapun parti yang memerintah untuk memberikan segala macam keperluan buat rakyat. Tetapi, tanyalah apa yang rakyat tidak puas hati dan dimana kesilapan BN? Jika BN bersedia membuat perubahan dan menerima kritikan rakyat dengan hati yang terbuka, pasti BN akan mampu bangun semula, malah mungkin akan menjadi lebih baik dari sebelum ini. Kepada parti yang berjaya memerintah seperti DAP di P.Pinang, PAS di Kelantan dan Kedah, dan kemungkinan PKR di Perak dan Selangor, tunaikan manifesto anda dan jangan disia-siakan amanah yang dipertanggungjawabkan ini. Anda lebih tahu apa yang rakyat inginkan kerana anda juga adalah rakyat sebelum ini; rakyat hanya inginkan pemerintahan yang adil, bersih dan telus!

2 comments:

Anonymous said...

Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Bukan Datuk Koh Tsu Koon) apabila nak jadi pemerhati politik, protokol gelar kena para pemimpin kena cekap & tajam, kalau tak org akan kata ni tak peka...sori yek..!!hehe..

Sbnrnya, bg sy faktor DSAI adlh faktor utama, mendahului faktor2 lain yg penulis nyatakan. Ini kerana, beliaulah yg berjaya mencorak & membongkar segala isu nasional yg penulis nyatakan di atas.

Untuk menawan Kelantan, BN hanya b'sedia dr segi material tp tdk dr segi calon.. T'bukti, calon yang dip'taruhkan tdk punya karisma & kredibiliti sebersih calon2 yang dip'taruhkan PAS. So, untuk 2012..kena lbh byk homework!!

Untuk penulis, tahniah atas analisis yg dibuat...menarik!!

sofia said...

to anonymous,
terima kasih atas correction yg dibuat. Kesilapan itu tidak disengajakan kerana semasa saya menulis analisis ini, saya tidak cukup tidur dek berjaga malam sebelumnya untuk mengikuti keputusan PRU 12. Pembetulan sudahpun dibuat dan thanks again and I welcome more comments after this to improve the content of this blog, tq