Thursday, April 24, 2008

SEJAUH MANA KITA MEMELIHARA SOLAT?

INI ADALAH RENUNGAN UNTUK KITA SEMUA.....

Rasulullah SAW bersabda: Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama.

Hakikatnya, solat adalah satu suruhan yang mesti dilaksanakan dan disempurnakan oleh setiap Muslim walau dalam apa jua keadaan. Solat adalah ibarat tunjang dalam hidup kita, jika tunjang itu kukuh lagi kuat, maka selamatlah hidup kita. Akan tetapi, jika tunjang yang ditanam itu lemah dan bergoyang, maka sudah pasti bahaya bakal mengundang.

Sayangnya, masih ramai dikalangan kita yang tidak tahu memelihara kesempurnaan solat fardhu. Jauh sekali untuk menjadikan ianya lebih sempurna dengan melakukan solat sunat. Solat mestilah dipelihara dengan baik sebagaimana kita menjaga dan memelihara apa jua yang menjadi kesayangan kita selama ini. Pemeliharaan kearah kesempurnaan solat itu haruslah dimulai dengan menunaikan solat itu secara punctual. Jangan sama sekali solat itu dilengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Barangsiapa yang bersolat tepat pada waktunya, dan melengkapkan rukuk, sujud dan khusyuk, maka solat itupun naik ke atas dalam keadaan putih dan cemerlang. Solat itu berkata: "Semoga Allah menjaga dirimu sebagaimana engkau menjaga aku (dengan menyempurnakan solat itu)". Tetapi barangsiapa yang tidak bersolat, tidak dalam waktu yang ditentukan dan tidak pula menyempurnakan wuduknya serta tidak pula melengkapkan rukuk, sujud dan tanpa khusyuk sama sekali, maka solat itupun dinaikkan ke atas dalam keadaan hitam kelam sambil berkata: "Semoga Allah mensia-siakan dirimu sebagaimana engkau mensia-siakan aku". Selanjutnya, setelah solat itu berada di suatu tempat seperti dikehendaki Allah, iapun lalu dilipatkan sebagaimana dilipatnya baju yang koyak rabak lalu dipukulkanlah kepada mukanya. (Riwayat al-Tabrani dan Baihaqi).

Begitulah perumpamaan yang digambarkan oleh Rasulullah kepada mereka yang tidak menjaga dan memelihara solatnya sebaik mungkin...nauzubillah. Solat juga harus disempurnakan penjagaannya dengan pemahaman yang betul mengenai konsep 'dirikan' solat dan bukannya 'tunaikan' solat. Ternyata, diantara 'tunaikan' dan 'dirikan' adalah dua konsep yang berbeza. Tunai lebih cenderung kepada proses melaksanakannya sekadar memenuhi tuntutan tanpa mengambil kira kesan spititual daripada perlakuan dan perlaksanaan perlakuan tersebut. Manakala mendirikan solat membawa maksud kepada tuntutan untuk melaksanakan solat itu secara fizikal dan spiritual lalu berterusanlah kesan solat itu dalam kehidupan seharian kita, Insyaallah.

Bagaimanakah kita hendak 'mendirikan' solat dan bukannya sekadar 'menunaikan' solat? Semasa mendirikan solat, kita mesti menanamkan keyakinan bahawa kita sedang berjumpa dengan Allah SWT dan hati kita juga sedang dilihat olehNya. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW:
Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hamba-hambaNya yang sedang bersolat selagi mana hambaNya tidak menolah ke lain. (Al-Bukhari dan Abu Daud).
Perasaan 'dilihat oleh Allah SWT' inilah yang perlu dibawa hingga ke luar solat bagi memastikan solat yang telah didirikan itu sempurna dan memberi kesan keatas kehidupan seharian kita sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 mafhumnya:
Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari keburukkan dan kemungkaran.

Begitulah pentingnya bagi kita semua menjaga dan memelihara solat itu dengan baik dari segi fizikal (waktu, rukun solat, bacaan, tempat dan pakaian dalam solat) dan spiritual (ingatan dan keyakinan terhadap Allah SWT ketika solat-khusyuk). Pemeliharaan solat yang sempurna dan berkesan itu akan memberi natijah yang baik dalam kehidupan seharian kita, Insyaallah. Wallahua'lam...


No comments: